Selangor FC secara rasmi dinobatkan sebagai Juara Piala Cabaran MFL 2024/25 selepas mencatat kemenangan bergaya 4-0 ke atas PDRM FC dalam perlawanan akhir kedua. Dengan agregat 7-0, skuad Red Giants membuktikan keunggulan mereka di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, sekaligus mengesahkan kejuaraan dengan penuh dominasi.
Perlawanan bermula dengan penuh bertenaga apabila Ali Olwan membuka jaringan seawal minit ke-4 hasil hantaran kemas daripada Ronnie Fernandez. Serangan Selangor terus membuahkan hasil apabila Fernandez sekali lagi memainkan peranan penting dengan memberikan umpanan sempurna kepada Yohandry Orozco pada minit ke-10, menggandakan kelebihan pasukan. Tidak hanya sebagai penyumbang assist, Fernandez turut mencatat namanya sebagai penjaring apabila menanduk masuk bola hasil hantaran silang Quentin Cheng pada minit ke-30, menjadikan kedudukan 3-0. Walaupun ketinggalan, PDRM FC tetap memberikan saingan sengit dengan beberapa percubaan berbahaya ke arah gawang Selangor. Separuh masa kedua menyaksikan beberapa pertukaran pemain yang memberikan suntikan tenaga baharu, dengan kemasukan Khuzaimi Piee, Mukhairi Ajmal, Zikri Khalili, Faisal Halim, dan Izwan Yuslan. Gol terakhir perlawanan hadir pada minit ke-80 apabila Faisal Halim menghantar bola ke bahagian kanan kepada Mukhairi Ajmal, yang kemudiannya membuat hantaran ke dalam kotak penalti. Orozco memanfaatkan peluang dengan kemahiran yang dimilikinya untuk meledak gol keempat Selangor, mengesahkan kemenangan mutlak 4-0.
Ketua jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi, meluahkan kegembiraannya dengan kemenangan ini sambil memuji usaha keras seluruh pasukan, staf kejurulatihan, dan sokongan padu penyokong.
“Saya sangat gembira dengan kejayaan ini, dan ia merupakan satu pencapaian penting buat pasukan. Kemenangan ini akan menjadi pemangkin untuk kita terus mara ke hadapan. Saya amat berpuas hati dengan prestasi para pemain, serta dedikasi barisan kejurulatihan dan pegawai pasukan yang memastikan skuad berada dalam keadaan terbaik. Tahniah kepada semua, termasuk penyokong setia Red Giants yang sentiasa memberikan sokongan luar biasa. Namun, perjalanan masih jauh, dan kami perlu terus fokus pada perlawanan seterusnya untuk mencapai lebih banyak kejayaan,” kata Kinoshi.
Pengurusan Selangor FC turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua pemain, jurulatih, dan staf atas komitmen dan usaha mereka dalam memastikan kejayaan pasukan. Dengan baki beberapa perlawanan sebelum Liga Malaysia musim 2024/25 melabuhkan tirai, Selangor FC bertekad untuk terus mencatat kemenangan.
Seterusnya, Selangor FC akan berdepan Sabah FC dalam saingan Liga Super pada 27 Februari jam 9 malam di Stadium MBPJ, Kelana Jaya. Penyokong boleh menjangkakan satu lagi aksi menarik ketika Red Giants meneruskan misi mereka untuk menambah koleksi kemenangan